Font Size

Profile

Cpanel

Articles

Bengkel Independent Learning KMS 2013

Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) mengorak langkah ke arah pembangunan kualiti pelajar untuk mengwujudkan ciri-ciri Independent Learning yang seterusnya diharapkan mampu untuk membangunkan kemampuan Lifelong Learning di kalangan pelajar lepasan KMS dengan mengadakan Bengkel Independent Learning KMS 2013 pada hari Sabtu, 27 April 2013 di Bilik Tayangan, Pusat Sumber KMS dari jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari. Bengkel yang turut dihadiri oleh Tuan Pengarah dan Timbalan Pengarah KMS juga turut dihadiri oleh seramai 17 peserta, termasuk Ketua Jabatan, Penolong Pengarah (PP) HEP dan PP Kaunseling.

 

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengarah KMS, Tuan Hj. Mustafar bin Musa, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah yang sanggup menghadiri bengkel ini walau pun ia diadakan pada hari cuti hujung minggu.

 

Bengkel ini telah diisi dengan dua ceramah yang disampaikan oleh En. Megat Ali Megat Johari, Pensyarah Kanan (Fizik / Sains Komputer) yang juga merupakan penyelaras program dan Dr. Miranda Yeoh, Pensyarah Kanan (Biologi) KMS.

 

Dalam ceramah beliau, En. Megat Ali telah menekan betapa pentingnya kemahiran belajar yang asas diberikan tumpuan untuk membolehkan mereka belajar secara berdikari di peringkat yang lebih tinggi. Menurut beliau, dengan mengkaji corak / pola pencapaian pelajar di peringkat Matrikulasi dan perkaitannya dengan pola pencapaian lepasan Matrikulasi di Universiti, boleh dirumuskan bahawa masih terdapat banyak ruang dan peluang penambahbaikan yang boleh dan perlu diusahakan dalam pendidikan pelajar Matrikulasi di KMS.

 

En. Megat Ali menyarankan supaya penekanan diberikan kepada kemahiran asas yang perlu ada pada setiap pelajar untuk memastikan mereka mempunyai 'survival skill' di peringkat tinggi dengan menekankan kepada keperluan psikologi belajar, keperluan persediaan belajar dan keperluan kemahiran belajar. Dalam usaha ini, En. Megat Ali telah menekankan bagaimana pentingnya kita kembali kepada kaedah pembelajaran yang asas di mana beliau telah menekankan apakah perkara yang boleh dan perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pensyarah untuk memastikan pelajar membina dan memperteguh kemahiran asas dalam proses pembelajaran mereka. Antara lain pelajar tidak boleh diberikan nota bercetak oleh pensyarah kerana kemahiran paling asas dalam pembelajaran seseorang pelajar adalah kemampuan mereka untuk membuat nota sendiri kerana amalan membuat nota itu sendiri terdiri daripada banyak peringkat iaitu nota sebelum kuliah, nota semasa kuliah, nota selepas kuliah, melengkapkan nota dan nota pindahan (ringkas). Jika pelajar mengikuti langkah-langkah yang dinyatakan sudah pasti banyak kandungan pelajaran yang dapat dipelajarinya semasa proses membuat nota tersebut.

 

Perkara-perkara lain yang diberikan perhatian adalah perlunya (1) mengelakkan kelas-kelas tambahan dengan tujuan untuk 'spoon-feeding' / 'drilling' pelajar di sebelah malam kerana pelajar perlukan masa untuk mencerna bahan-bahan yang dipelajari; (2) mengelakkan mengadakan Pra-UPS dan Pra-PSPM kerana ia bukanlah sistem pembelajaran yang akan dilalui ketika mereka berada di universiti kelak dan juga mengganggu masa untuk proses pembelajaran yang lebih penting kepada pelajar; (3) menambah bahan-bahan pembelajaran dan menyediakan sinopsis kursus untuk membolehkan pelajar membuat rujukan awal sebelum sesuatu kelas.

 

Dr. Miranda Yeoh pula telah membentangkan dapatan kajian beliau melalui ceramah bertajuk “Facilitating Independent Learning in KMS”. Melalui projek beliau, Dr. Miranda telah membincangkan empat perkara utama dengan pelajarnya yang dikongsikan dengan peserta bengkel, iaitu: (1) Keperluan pelajar menguasai aras-aras dalam Bloom's Taxonomy peringkat tinggi (Higher Order Thinking Skills, HOTS) dengan menekankan keperluan pelajar memahami (understand), mengaplikasi (apply), menilaikan (evaluate) dan mensintesis (synthesize); (2) Membina lapan kemahiran asas untuk info-literate student termasuk kemahiran aras tinggi dalam taksonomi Bloom seperti mengaplikasi (apply), menilaikan (evaluate) dan mensentesis (synthesize), mengkomunikasi / membentang maklumat serta menyemak dan mengkaji semula (review); (3) Mengamalkan lapan langkah dalam kitaran Independent Learning iaitu langkah-langkah yang melibatkan juga proses-prosesmenilai (evaluate) dan mensentesis (synthesize); mengkomunikasi/membentang maklumat serta menyemak dan mengkaji semula (review); dan (4) Kepentingan menggunakan dan membangunkan lapan Multiple Intelligences ketika pembelajaran mereka. Pelajar perlu membuat latihan-latihan yang mampu membina verbal dan logic-math intelligences yang telah dicadangkan beliau. Pelajar perlu mengasahkan interpersonal intelligence semasa menjalankan teamwork yang berpegang kepada cooperative approach, agar mendapat manfaat daripada kebolehan ahli-ahli team; dan semua pelajar, yang pandai atau kurang pun boleh memberi sumbangan terhadap team mereka.

 

Semua faktor yang dibincangkan oleh Dr. Miranda ini adalah sangat penting dalam proses membangunkan kemampuan independent learning di kalangan pelajar. Tugas sebagai pensyarah ialah untuk menolong pelajar membina kebolehan-kebolehan tersebut sebab info-literasi menjadi asas kepada independent learning dan pembelajaran sepanjang hayat dalam dunia global kini.

 

Pada peringkat ketiga bengkel, En. Megat Ali telah memperkenalkan Cornell System for Note-taking melalui tayangan satu video ringkas. Sistem pengambilan nota ini dicipta oleh Professor Emeritus Walter Pauk di Universiti Cornell, Amerika Syarikat dan digunakan meluas di universiti, kolej dan sekolah di Amerika Syarikat. Video yang ditayangkan itu menggambarkan bagaimanakah proses untuk mengambil dan menggunakan nota mengikut sistem Cornell ini.

 

Semasa sesi sumbangsaran bersama peserta yang hadir, beberapa faktor yang menghalang pelaksanaan Independent Learning telah dibangkitkan oleh peserta. Disamping itu, Penolong Pengarah Kaunseling, En. Mohamad Faizal Saad telah memaklumkan bahawa Kaunselor kolej-kolej matrikulasi telah juga diarahkan menggerakkan Independent Learning melalui pelaksanaan Strategi Pembelajaran Abad ke 21 yang akan dilaksanakan pada sesi 2013/2014 kelak.

 

Tuan Pengarah KMS telah menekankan bahawa program pengukuhan kefahaman perlu diadakan melalui perancangan yang sistematik dan teliti dengan mempertimbangkan semua faktor positif dan negatif dan tidak seharusnya menjejaskan matlamat pembangunan kemahiran pembelajaran pelajar. Beliau juga menekankan keperluan untuk melaksanakan usaha membangunkan kemampuan Independent Learning di KMS perlu dipergiatkan bersama dengan usaha mencemerlangkan pencapaian akademik pelajar. Beliau juga menekankan perlunya Cornell Note-taking System yang diperkenalkan melalui bengkel ini dicuba penggunaannya di KMS bermula dengan bengkel pendedahan yang diberikan kepada semua Mentor yang seterusnya akan melatih pelajar semasa Minggu Pengurusan Pelajar Baru. Kaunselor perlu memberikan tumpuan kepada aspek psikologi pelajar, manakala pensyarah memberikan tumpuan kepada kemahiran dan teknik belajar dan kandungan pelajaran.

 

Disediakan oleh : MAMJ

Disemak oleh : MY

Diluluskan oleh : HMM, P KMS

 

29 April 2013

You are here: Home